Search This Blog

Tuesday, December 22, 2009

Wanita & Kupu-kupu (sambungan)



Demikian wanita dijadikan Tuhan untuk menghiasi bumi ini sebagaimana kupu-kupu dijadikan Tuhan untuk menghiasi bunga-bungaan. Tanpa wanita dunia ini terasa sempit dan sesak, serta tidak seronok untuk didiami. Kaum lelaki akan akan berasa rimas sebagaimana Nabi Adam a.s. pernah dilanda gelisah meskipun hidup dikelilingi kenikmatan syurga. Lalu baginda bermohon kepada Tuhan agar dikurniakan seorang teman, supaya boleh berbicara, bergurau senda dan membina sahsiahnya. Justeru, terciptalah Siti Hawa daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam a.s. Terisilah jiwa baginda dan segala kenikmatan syurga terasa bermakna.
Ternyata wanita cukup perlu dalam kehidupan lelaki sebagaimana bunga amat perlu kepada kupu-kupu bagi proses pendebungaan. Tanpa permaisuri, siapalah lelaki yang bergelar raja itu? Tanpa isteri, siapalah lelaki yangbergelar suami itu?
Tanpa Siti Khadijah, barangkali Rasulullah s.a.w. tidak mendapat dorongan yang sangat diperlukannya untuk terus bangkit, berpegang teguh kepada keyakinannya dan menyebarkan Islam sebagaimana semestinya. Tanpa Siti Aisyah, barangkali banyak hadis baginda yang tidak sampai kepada umat Islam seluruhnya. Tanpa Fatimah Az-Zahrah, barangkali Sayidina Ali r.a. tidak muncul sebagai menantu Rasulullah s.a.w yang paling disayangi. Tanpa Asiah, barangkali Nabi Musa a.s. tidak terbela sehingga menjadi penentang kepada Firaun. Tanpa Masitah, barangkali tidak terbukti betapa wanita boleh berpegang teguh kepada keimanan meskipun maut di depan mata. Dan tanpa WANITA, siapalah lelaki kerana setiap lelaki datangnya dari perut wanita.

No comments:

Post a Comment